Monday, April 13, 2020

Novel: Travelog Tragis New York


Muiz, Ayu dan sepupu mereka, Safwan, sedang berada dalam misi pengembaraan di bumi Amerika Syarikat. Mereka melawat banyak destinasi menarik serta mempelajari budaya masyarakat setempat.
New York menjadi bandar terakhir dalam pengembaraan mereka. Kemodenan dan kemeriahan bandar itu benar-benar mengagumkan mereka.
Namun… sejarah ancaman pengganas yang pernah beberapa kali menggemparkan New York, bakal menjadi mimpi buruk buat mereka apabila Muiz menemui satu objek aneh di stesen kereta api bawah tanah. Ia benar-benar mendebarkan kerana mungkin itu bom yang boleh meledak pada bila-bila masa!
Paling berharga, buku ini sarat informasi tentang info geografi bumi Amerika. Moga pembaca yang membaca rasa terinspirasi mahu melanjutkan pelajaran ke luar negara dan dapat pelbagai pengalaman berharga.

Novel: Travelog Seram Washington


Muiz dan sepupunya, Safwan, terbang ke negara Amerika Syarikat bagi meraikan majlis graduasi kakak Muiz iaitu Ayu. Selepas majlis berkenaan… pelbagai destinasi menarik telah dirancang bagi mengisi percutian mereka.
Di Washington, sesuatu telah terjadi sehingga membantutkan percutian yang sepatutnya indah. Malah, mereka juga terpaksa bermalam di bandar itu kerana masing-masing sudah keletihan.
Tanpa disedari, hotel yang mereka pilih untuk bermalam itu rupa-rupanya mempunyai cerita misterinya yang tersendiri. Satu per satu perkara aneh berlaku apabila jam menunjukkan pukul 12 tengah malam. Piano berbunyi sendiri, kanak-kanak perempuan menunggu di koridor pejalan kaki. Sebuah bilik misteri yang separuh terbuka pintunya turut membuatkan sesiapa pun ingin tahu isinya… lalu bertemu perkara-perkara mistik yang tidak terjangkau dek akal!
Siapa kata hantu puaka hanya ada di bumi Malaysia? Siapa kata di Amerika tiada tempat keras lagi seramnya?
Apapun… kisah ini adalah sebuah travelog ke Amerika yang sangat membantu pembaca muda mengetahui lebih mendalam tentang ilmu-ilmu geografi dan kebudayaan negara barat. Ia menyuntik rasa mahu mengembara, mengutip pengalaman berharga menjelajah bumi ciptaan Tuhan Maha Kuasa.

Kumpulan Cerpen: Misteri Video Viral


Buku ini menghimpunkan 9 buah cerpen seram dan mistik. Kisah-kisah dalam buku ini sama sekali bukan semata-mata untuk menimbulkan ketakutan dalam diri kita, akan tetapi bagi menyedarkan kita semua supaya jangan terperangkap dengan hasutan syaitan, apatah lagi syirik terhadap Allah SWT.

Novel: Marsya Penulis Hijabistar


Adik-adik mahu berkongsi bakat dan minat melalui penulisan?

Adik-adik mahu menambah lebih ramai rakan di media sosial?

Tahukah adik-adik bahawa perkongsian dan penulisan di media sosial boleh dibukukan? Lebih-lebih lagi jika adik-adik mempunyai ramai pengikut setia.

Ketahuilah bahawa Marsya masih muda tetapi mempunyai ramai pengikut di media sosial kerana rajin berkongsi tip-tip fesyen di alam maya. Berbekalkan nasihat daripada abangnya, Adrian, Marsya berjaya menjadi seoang penulis hijabistar!