Thursday, August 20, 2020

KOMIK HOLOGRAM

 


KOMIK HOLOGRAM ini merupakan adaptasi daripada Kumpulan Cerpen Hologram karya Iwan Reaz. Komik ini membawakan empat buah cerita pendek iaitu Hologram, Potret, Roti dan Virus yang memaparkan kejadian-kejadian aneh serta mengerikan hingga ada yang menemui ajal.

Judul HOLOGRAM membawakan kisah seorang pemuda yang dapat melihat bilakah saat kematian setiap orang yang ditemuinya. Namun, dia tidak tahu bilakah saat kematian diri sendiri. Kenapa dia yang dipilih dan kenapa dia sahaja yang mendapat anugerah ini?

Judul POTRET pula memaparkan sisi aneh yang dialami oleh seorang pemuda setelah dia membeli dan memiliki sebuah potret di pasar antik. Sejak itu dia telah diganggu dengan mimpi-mimpi ngeri. Dendam apakah yang sedang ditunjukkan oleh alam ini kepada manusia?

Judul ROTI, cerita yang mengisahkan seorang remaja lelaki yang sering membeli roti keju di sebuah kedai roti yang terletak berhampiran rumahnya tanpa menyedari misteri di kedai berkenaan.

Judul VIRUS bertolak dari kisah beberapa kematian misteri yang terjadi. Hasil bedah siasat menemui jalan buntu untuk mencari punca kematian mangsa. Nampaknya ada virus yang sengaja dicipta bagi menghuru-harakan dunia. Apakah motifnya?
 

Monday, April 13, 2020

Novel: Travelog Tragis New York


Muiz, Ayu dan sepupu mereka, Safwan, sedang berada dalam misi pengembaraan di bumi Amerika Syarikat. Mereka melawat banyak destinasi menarik serta mempelajari budaya masyarakat setempat.
New York menjadi bandar terakhir dalam pengembaraan mereka. Kemodenan dan kemeriahan bandar itu benar-benar mengagumkan mereka.
Namun… sejarah ancaman pengganas yang pernah beberapa kali menggemparkan New York, bakal menjadi mimpi buruk buat mereka apabila Muiz menemui satu objek aneh di stesen kereta api bawah tanah. Ia benar-benar mendebarkan kerana mungkin itu bom yang boleh meledak pada bila-bila masa!
Paling berharga, buku ini sarat informasi tentang info geografi bumi Amerika. Moga pembaca yang membaca rasa terinspirasi mahu melanjutkan pelajaran ke luar negara dan dapat pelbagai pengalaman berharga.

Novel: Travelog Seram Washington


Muiz dan sepupunya, Safwan, terbang ke negara Amerika Syarikat bagi meraikan majlis graduasi kakak Muiz iaitu Ayu. Selepas majlis berkenaan… pelbagai destinasi menarik telah dirancang bagi mengisi percutian mereka.
Di Washington, sesuatu telah terjadi sehingga membantutkan percutian yang sepatutnya indah. Malah, mereka juga terpaksa bermalam di bandar itu kerana masing-masing sudah keletihan.
Tanpa disedari, hotel yang mereka pilih untuk bermalam itu rupa-rupanya mempunyai cerita misterinya yang tersendiri. Satu per satu perkara aneh berlaku apabila jam menunjukkan pukul 12 tengah malam. Piano berbunyi sendiri, kanak-kanak perempuan menunggu di koridor pejalan kaki. Sebuah bilik misteri yang separuh terbuka pintunya turut membuatkan sesiapa pun ingin tahu isinya… lalu bertemu perkara-perkara mistik yang tidak terjangkau dek akal!
Siapa kata hantu puaka hanya ada di bumi Malaysia? Siapa kata di Amerika tiada tempat keras lagi seramnya?
Apapun… kisah ini adalah sebuah travelog ke Amerika yang sangat membantu pembaca muda mengetahui lebih mendalam tentang ilmu-ilmu geografi dan kebudayaan negara barat. Ia menyuntik rasa mahu mengembara, mengutip pengalaman berharga menjelajah bumi ciptaan Tuhan Maha Kuasa.

Kumpulan Cerpen: Misteri Video Viral


Buku ini menghimpunkan 9 buah cerpen seram dan mistik. Kisah-kisah dalam buku ini sama sekali bukan semata-mata untuk menimbulkan ketakutan dalam diri kita, akan tetapi bagi menyedarkan kita semua supaya jangan terperangkap dengan hasutan syaitan, apatah lagi syirik terhadap Allah SWT.

Novel: Marsya Penulis Hijabistar


Adik-adik mahu berkongsi bakat dan minat melalui penulisan?

Adik-adik mahu menambah lebih ramai rakan di media sosial?

Tahukah adik-adik bahawa perkongsian dan penulisan di media sosial boleh dibukukan? Lebih-lebih lagi jika adik-adik mempunyai ramai pengikut setia.

Ketahuilah bahawa Marsya masih muda tetapi mempunyai ramai pengikut di media sosial kerana rajin berkongsi tip-tip fesyen di alam maya. Berbekalkan nasihat daripada abangnya, Adrian, Marsya berjaya menjadi seoang penulis hijabistar!
 

Thursday, July 11, 2019

Anekdot: Kitab Budak Praktikal



"Nak praktikal je pun, tak payah nak berprotokol sangat. Asal dapat sudah. Janji boleh grad."

"Praktikal bukannya dibayar elaun. Tak payah rajin sangat menabur bakti free dekat ofis tu, sampai masa je balik!"

Kau pernah dengar suara-suara yang macam tu?

Disebabkan pemikiran yang macam itulah wujudnya Kitab Budak Praktikal ni.

Buku ini merupakan himpunan kisah-kisah benar yang dilalui penulis dalam menguruskan segala hal tentang latihan industri atau lebih popular sebagai praktikal.

Jadi, ia amat sesuai sebagai persiapan untuk para pelajar yang bakal menjalani praktikal. Pelbagai tip berguna yang boleh dijadikan panduan.
(less)

Monday, May 27, 2019

Novel: Somniphobia Sumpahan Syaitan




Somniphobia ialah salah sejenis fobia atau ketakutan untuk tidur. Ia merupakan gangguan tidur yang luar biasa. Individu yang mengalami Somniphobia takut untuk tidur kerana takut untuk mengalami mimpi ngeri atau menyeramkan.

Anas, seorang pemuda yang baru meminati buku-buku genre seram. Dia telah membeli beberapa buah novel, termasuklah sebuah novel bertajuk Somniphobia yang diberi secara percuma. Sejak membaca novel Somniphobia, dia mula mengalami mimpi-mimpi seram yang dirasakan seperti benar. Malah, dia juga semakin keliru antara realiti dan mimpi. Pernah dia cuba untuk memulangkan dan membuang buku itu, tetapi usahanya menemui jalan buntu kerana ada ‘sesuatu’ yang mengganggunya.

Novel: Danish Penulis Megastar


Adik-adik mahu jadi penulis tetapi tidak ada idea mahu menulis tentang apa?

Adik-adik teringin melihat karya adik-adik berada di atas rak kedai buku?

Tahukah adik-adik bahawa kita boleh menulis banyak perkara melalui pengalaman yang pernah kita lalui?

Novel: Budak Quran Digital




Walaupun dia masih muda, kegigihan Asyraf terserlah apabila dia bertanggungjawab untuk mengubah nasib dirinya dan Opah Yah yang banyak berkorban untuk dirinya. Namun, pelbagai dugaan yang terpaksa dihadapi oleh Asyraf. Apakah dia berjaya mengharungi segala rintangan demi mencapai impiannya itu?

Novel: Adrian Penulis Superstar




Adik-adik pernah bercita-cita untuk menjadi seorang penulis?

Adik-adik mahu jadi penulis tetapi tidak tahu caranya?


Tahukah adik-adik bahawa usia muda bukan penghalang untuk menulis buku sendiri?
Ketahuilah bahawa Adrian juga masih bergelar seorang pelajar. Tetapi beliau percaya pada minat dan bakat yang dimiliki.

Berbekalkan semangat juang dan bimbingan daripada mentornya, Aiman Syafiq, Adrian berjaya menjadi seorang penulis superstar!

Bagaimanakan cara untuk bergelar seorang penulis seperti Adrian? Ikuti pengembaraan Adrian yang serba mencabar di dalam buku ini.

Saturday, April 21, 2018

Novel: Magna Sayap Hitam


Novel ini membawakan kisah Zettrion, sebuah dunia tanpa warna dan tiada undang-undang yang terpakai di situ melainkan amalan sihir yang berleluasa. Pertarungan sentiasa berlaku. Manusia yang lebih kuat dan kejam akan dihormati berdasarkan pada pangkat yang tertera pada lengan manusia di Zettrion ini.

Efix, manusia putih yang besar dan kuat tetapi pecinta kedamaian. Dan kerana dia tidak seperti manusia lain dan sikapnya yang berbeza itu, Efix dibenci oleh keluarganya sendiri. Impian Efix adalah untuk berhijrah ke planet Bumi kerana manusia di Zettrion ini berasal dari planet Bumi. Bagi Effix, Bumi punyai keindahan dan keamanan yang didambakannya.

Hasratnya itu semakin bergelora apabila dia termakan dengan hasutan Izze bahawa manusia yang paling kejam dan yang mencapai pangkat paling tinggi akan ditumbuhi Sayap Hitam yang membolehkan mereka terbang ke planet Bumi. Akhirnya Efix mula melakukan kejahatan demi kejahatan.

Berjayakah Efix merealisasikan cita-citanya itu?

Sunday, February 25, 2018

Kumpulan Cerpen: Hologram


Buku terbitan BUKU PURIS ini sesuai untuk pencinta karya fiksyen berorientasikan seram dan misteri. Buku HOLOGRAM oleh penulis muda IWAN REAZ perlu anda miliki.

Membawakan 14 buah cerita pendek yang memaparkan kejadian-kejadian aneh serta mengerikan hingga ada yang menemui ajal.

HOLOGRAM membawakan kisah seorang pemuda yang dapat melihat bilakah saat kematian setiap orang yang ditemuinya. Namun, dia tidak tahu bilakah saat kematian diri sendiri. Kenapa dia yang dipilih dan kenapa dia sahaja yang mendapat anugerah ini?

HUJAN pula memaparkan sisi aneh air hujan. Hujan ini membunuh. Titisan hujan telah merobek tubuh-tubuh manusia yang tidak sempat berlindung hingga hancur jasad mereka. Amaran apakah yang sedang ditunjukkan oleh alam ini kepada manusia?

ILHAM, cerita yang mengisahkan seorang penulis entiti paranormal yang sangat hebat. Kehebatannya dalam mengarang kisah-kisah misteri ini mungkin kerana ada makhluk lain yang bersembunyi dalam tubuhnya. Mungkin juga penulis buku ini, IWAN REAZ juga bukanlah dirinya yang sebenar.

Mustahil? Tak mustahil!

Selepas membaca HOLOGRAM, pasti anda akan temui jawapanya!

Kumpulan Puisi: Memotret Kenangan


"Dulu kita sepasang sayap
menongkah badai
bersilang tangan."

MEMOTRET KENANGAN memuatkan 51 puisi Iwan Reaz dan 2 puisi dedikasi kepada Along, abang kandungnya yang telah pergi.

Iwan Reaz merakamkan segala rindu, kasih, penghargaan, serta harapannya dalam rangkap-rangkap puisi sebagai satu potret kenangan yang tidak akan dihapus oleh masa.

* Al fatihah buat Shahrul Azim Mohd Ghazali